Navigation Button

Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket

Ahad, 13 Disember 2015

ISU 1 : Asal Usul, Tujuan Dan Struktur Pendidikan Matematik DI Malaysia






                 Kronologi Ringkas Pendidikan 
Di Malaysia

 




 

Pendidikan matematik awalan di Malaysia mementingkan kemahiran mengira mudah di sekolah rendah dan sekolah menengah. Kurikulum matematik yang dilaksanakan sebelum tahun 70'an memberi fokus kepasa matematik tradisi. Pada ketika itu objektif pengajarnnya berlandaskan kepada teori pembelajaran behaviourisme, yang menyebabkan matematik dibahagikan kepada beberapa bahagian dan setiap bahagian diajar secara berasingan antara satu sama lain (Asiah Abu Samah, 1982). Aritmetik, geometri dan algebra diajar secara terpisah-pisah tanpa sebarang usaha ke arah kesepaduan. Apabila dasar dan falsafah pendidikan negara menjurus ke arah kemodenan, matematik tradisi telah berubah kepada matematik moden dan telah digunapakai di sekolah-sekolah di Malaysia pada ketika itu. Matapelajaran matematik  Pilihan C yang dilaksanakan pada awal 70'an, telah diterapkan dengan unsur-unsur matematik moden (Asiah Abu Samah, 1982).
Kurikulum Lama Sekolah Rendah (KLSR) yang dilaksanakan sebelum 80'an dirancang berasaskan isi kandungan mata pelajaran. Isi kandungan itu pula kerap kali tidak berkaitan antara satu mata pelajaran dengan mata pelajaran yang lain dan butiran yang terkandung dalam sukatan pelajaran adalah terlalu banyak. keadaan ini membebankan dan membosankan pelajar. Secara umumnya, menguasai spenuhnya KLSR adalah di luar kemampuan banyak pelajar sekolah rendah. Antara kelemahan terbesar dalam KLSR dan KLSM ialah isi kandungannya terlampau memberi penekanan dalam persediaan untuk mencapai kecemerlangan kebendaan. Penekanan ini telah mewujudkan kepincangan dalam persediaan untuk kecemerlangan kerohanian. Daripada sudut pedagogi pula, KLSR dan KLSM memberi tumpuan kepada aspek pembelajaran melalui pendekatan hafalan secara langsung atau tidak langsung dipengaruhi oleh fahaman behaviorisme. Aspek lain seperti pemahaman, amalan dan penghayatan kurang diberi perhatian yang sewajarnya (Nik Azis Nik Pa, 1992).

i.          Laporan Razak (1956)
Menteri Pelajaran ketika itu Y.B. Dato' Tun Abdul Razak Hussein menubuhkan Jawatankuasa Pelajaran dan mengesyorkan beberapa perubahan dalam sistem pendidikan dan laporan ini dikenali sebagai Penyata Razak (1956). 



Cadangan-cadangan dalam penyata tersebut telah dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran 1957 .Kurikulum pendidikan matematik yang rasmi hanya diguna pakai bermula 1956 selepas cadangan Penyata Razak supaya semua sekolah kerajaan berbuat sedemikian. Walau bagaimanapun, terdapat hanya sedikit perubahan tajuk pada kurikulum yang rasmi itu. Perubahan besar hanya berlaku selepas pelaksanaan Projek Khas pada 1970.

ii.         Laporan Projek Khas (1970)
Projek Khas Kementerian Pelajaran Malaysia bermula pada 1968 diterajui oleh En.Abu Hassan Ali. Objektif projek ini ialah untuk memperbaiki mutu pendidikan matematik dan sains supaya selaras dengan perkembangan matematik moden di negara-negara maju.  Bahan-bahan pengajaran-pembelajaran direka cipta oleh pensyarah dan guru yang telah dilatih di luar negara.  Hanya terdapat sedikit perubahan kandungan matematik sekolah rendah pada Projek Khas ini. Walau bagaimanapun, strategi serta kaedah berpusatkan guru diperkenalkan. Kaedah inkuiri-penemuan digalakkan.  Program ini telah diubahsuai dan diperkenalkan ke semua sekolah rendah dari masa ke semasa sehingga ianya digantikan dengan Matematik KBSR.

iii.        Program Matematik Moden (1970)
Program Matematik Moden diperkenalkan ke sekolah rendah dan menengah pada awal tahun 70an. Tujuan utama program ini ialah memperkenalkan tajuk-tajuk moden di ketika itu seperti teori set, statistik dan vektor yang dipermudahkan. Selain itu, pendekatan tradisi digantikan dengan kaedah semasa.  Sukatan Matematik Moden dirancang oleh Panitia Kurikulum Matematik yang ditubuhkan pada 1969. Sukatan berkenaan dirancang selepas diadakan kajian terhadap kurikulum British School Mathematics Project (SMP) dan Scottish Mathematics Group (SMG). Panitia berkenaan memilih sukatan SMG kerana ianya lebih sesuai bagi murid pelbagai kebolehan di sekolah menengah rendah.  Pada 1972, topik-topik SMP telah diguna pakai bagi pendidikan matematik di Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 kerana panitia berkenaan mendapati bahawa ianya lebih sesuai bagi tujuan peperiksaan Sukatan Matematik.  Dua buah buku teks iaitu Matematik Moden Tingkatan Empat dan Matematik Moden Tingkatan Lima telah diterbitkan pada 1974 dan 1975.  Seterusnya, kedua-dua sukatan menengah rendah dan menengah atas iaitu Sukatan Matematik Moden Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima telah disatukan pada 1978.  Satu pertiga daripada Sukatan Matematik Moden mengandungi topik-topik baru seperti sistem pernomboran, pemetaan, transformasi geometri, matriks dan statistik.  Strategi pengajaran dan pembelajaran berpusatkan murid dan bahan manipulasi terus digalakkan.

iv.        Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) (1983)
KBSR dilaksanakan pada tahun 1983 berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan (1979).  Melaluinya, kurikulum matematik telah mengalami perubahan yang besar daripada Kurikulum Matematik Moden.  Perubahan utama ialah mengurangkan kandungan matematik supaya menjadi lebih sesuai dengan kebolehan murid. Sukatan pelajaran dibahagi kepada dua iaitu Aras I dan Aras II.  Aras I (Tahun 1 – Tahun 3) mementingkan penguasaan terhadap konsep-konsep asas penomboran serta pelaksanaan empat operasi asas matematik (+, -, ÷ dan x).  Aras II (Tahun 4 – Tahun 6) pula mementingkan aplikasi kemahiran operasi asas serta penyelesaian masalah matematik.  Kurikulum ini bertujuan untuk menyediakan peluang yang sama bagi semua murid untuk memperoleh pengetahuan, kemahiran, sikap, peraturan serta amalan sosial masyarakat yang baik. Matematik KBSR ini bertujuan untuk mengembangkan kemahiran mengira di kalangan murid. Mereka perlu juga menguasai kemahiran-kemahiran asas matematik.

v.         Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (1994)
Kurikulum Baru Sekolah Rendah ditukar kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah pada tahun 1994.  Manakala kurikulum matematik sekolah menengah juga mengalami perubahan daripada  Kurikulum Baru Sekolah Menengah (1989) kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah pada tahun 1998.  Perubahan yang dibuat adalah selaras dengan kehendak dan cita-cita murni yang terkandung dalam  Falsafah Pendidikan Kebangsaan 1994.  Matlamat utama Pendidikan Matematik dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah  bertujuan untuk memudahkan pelajar membina konsep nombor dan menguasai kemahiran asas mengira.  Dengan ini, diharapkan pelajar dapat menyelesaikan masalah dalam kehidupan seharian dengan berkesan. Berasaskan pengetahuan matematik yang diperolehi, pelajar seharusnya  boleh menguruskan aktiviti harian mereka dengan lebih sistematik.  Ini dapat membantu mereka untuk terus maju dan melanjutkan pelajaran di masa akan datang dan menyumbang kepada pembentukan modal insane yang diperlukan untuk membangunkan masyarakat dan negara. (Sukatan Matematik Sekolah Rendah: April 1993)

vi.        Sukatan Matematik Sekolah Rendah (1998)
Berikutan pelancaran Sekolah Bestari (1995) dan memenuhi keperluan IT (Teknologi Maklumat) seperti yang terdapat dalam cabaran visi 2020, sukatan matematik telah disemak semula. Semakan sukatan matematik pada tahun 1998 mempastikan pelajar menguasai kemahiran asas matematik dan dapat menggunakannya dalam situasi harian sepenuhnya. Jawatankuasa yang berkenaan telah mengagihkan kemahiran belajar yang diperlukan kepada sembilan tajuk utama.  Bagi setiap tajuk, kemahirannya disusun dari mudah kepada susah secara hiraki. Tajuk- tajuknya ialah nombor bulat dan operasi asas, pecahan dan operasi asas, perpuluhan dan operasi asas, wang, ukuran panjang dan berat, ruang, purata, peratus dan graf.
Pengubahsuaian dan perubahan yang berlaku dalam perkembangan kurikulum pendidikan matematik bukan hanya bertujuan untuk menambahbaik dan menyelesaikan kelemahan yang terdapat dalam kurikulum terdahulu malahan merupakan tuntutan untuk merealisasikan objektif dan aspirasi seperti yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Visi  2020.
Pada bulan Januari 2003, Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) telah mula dilaksanakan untuk pelajar Tingakatan 1, 4 dan 6 rendah. Dengan penguasaan Bahasa Inggeris yang baik, perubahan ini bertujuan supaya pelajar dapat mengakses maklumat untuk tujuan pembelajaran dengan mudah, seiring dengan perkembangan teknologi maklumat. Bagi setiap tajuk, kemahirannya disusun dari mudah kepada susah secara hiraki. Tajuk tajuknya ialah:

1. Nombor bulat dan operasi asas.
2. Pecahan dan operasi asas.
3. Perpuluhan dan operasi asas.
4. Wang
5. Ukuran panjang dan berat.
6. Ruang
7. Purata
8. Peratus
9. Graf.

Pengubahsuaian dan perubahan yang berlaku dalam perkembangan kurikulum pendidikan matematik bukan hanya bertujuan untuk menambahbaik dan menyelesaikan kelemahan yang terdapat dalam kurikulum terdahulu malahan merupakan tuntutan untuk merealisasikan objektif dan aspirasi seperti yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Visi 2020. Pada bulan Januari 2003, Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) telah mula dilaksanakan untuk pelajar Tingakatan 1, 4 dan enam rendah. Dengan penguasaan Bahasa Inggeris yang baik, perubahan ini bertujuan supaya pelajar dapat mengakses maklumat untuk tujuan pembelajaran dengan mudah,seiring dengan perkembangan teknologi maklumat.
Selain daripada perkembangan kurikulum matematik seperti yang telah dibincangkan, ada beberapa projek lain yang telah dijalankan untuk meningkatkan kualiti pengajaran matematik di sekolah. Di antaranya ialah Projek Imbuhan (Compensatory Project), Projek InSPIRE (the Integrated System of Programmed Instruction for Rural Environment) dan projek Sekolah Bestari.


vii.        Projek Imbuhan (Compensatory Project) (1975-1980)

Projek Imbuhan telah dilaksanakan selepas Perang Dunia yang kedua untuk menangani keadaan ketidakserataan dan ketidakadilan peluang pendidikan di antara golongan kaya dan miskin. Akibat taraf sosio ekonomi yang berbeza wujudlah jurang yang ketara ini. Golongan kaya mendapat pendidikan yang sempurna manakala golongan miskin terus dipinggirkan untuk belajar. Berikutan itu, Projek Imbuhan dijalankan untuk membela nasib kanak- kanak dari keluarga yang berpendapatan rendah.
Projek ini telah dilancarkan dan dilaksanakan dari tahun 1975 sehingga tahun 1980. Melalui projek ini, peruntukan – peruntukan khas dalam bentuk bantuan telah dihulurkan kepada semua ibubapa dan pelajar sekolah rendah dan pra- sekolah yang kurang berkemampuan. Ini termasuklah pemberian subsidi makanan, bantuan kewangan dan kemudahan- kemudahan lain. Bagi mempastikan kejayaan dan keberkesanan, projek ini telah disokong oleh sumber- sumber seperti bahan pembelajaran khas dan guru- guru yang dilatih khusus menjalankan projek ini. Skema pembelajaran juga direkabentuk mengikut perkembangan kognitif murid-murid. Projek ini menitikberatkan bidang pedagogi ( pendidikan pemulihan) dan elemen- elemen sosio-ekonomi dan politik.

viii.        Projek InSPIRE (1977)
(Integrated System of Programmed Instruction for Rural Environment)
Idea untuk menubuhkan Projek InSPIRE bermula dalam tahun 1977. Langkah ini diterajui oleh Universiti Sains Malaysia sebagai satu projek pendidikan. Objektif utama projek ini ialah untuk mencari kaedah yang berkesan bagi menjalankan program pemulihan dan pengayaan matematik di sekolah- sekolah rendah di luar bandar. Pelbagai set bahanbahan untuk aktiviti pemulihan dan pengayaan matematik telah dibina dan dihantar ke sekolah- sekolah untuk diuji. Di samping itu, objektif kedua projek ini ialah membantu Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia melaksanakan program pemulihan dan pengayaan dalam KBSR. Projek InSPIRE ini telah dilancarkan secara rasmi pada tahun 1983.


ix.        Projek Sekolah Bestari di Malaysia

Salah satu daripada tujuh flagship dalam Projek Koridor Raya Multimedia (Multimedia Super Corridor) ialah penubuhan Sekolah Bestari di Malaysia. Pada bulan Julai 1997, Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ketika itu telah melancarkan dokumen flagship Sekolah Bestari di Malaysia disamping dokumen berkaitan flagship- flagship lain. Syarikat Swasta dari dalam atau luar negara dijemput untuk mengemukakan kertas cadangan bagi menjayakan flagship- flagship ini.Sekolah Bestari Malaysia merupakan satu institusi pendidikan yang telah direkabentuk semula secara menyeluruh dari segi pengajaran –pembelajaran dan pengurusan sekolah dengan matlamat membantu pelajar menghadapi cabaran Zaman Maklumat.

Tumpuan utama dalam projek Sekolah Bestari ini ialah pelaksanaan proses pengajaran – pembelajarannya. Ini ada kaitannya dengan kurikulum, pedagogi, pentaksiran, dan juga bahan-bahan P&P. Kesemua elemen ini dititikberatkan supaya pelajar dapat belajar dengan lebih berkesan dan cekap. Kaedah pembelajaran Sekolah Bestari menggalakkan pelajar mengamalkan pembelajaran akses kendiri , terarah kendiri dan mengikut kadar pembelajaran sendiri. Selain itu, Sekolah Bestari juga memberi tumpuan kepada aplikasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran matematik. Pakej courseware yang lengkap mengikut sukatan matematik bagi Sekolah Bestari di peringkat rendah dan menengah telah disiapkan dan sedia digunakan. Projek rintis Sekolah Bestari di Malaysia bermula dalam tahun 1998. Dua buah sekolah rendah dan dua buah sekolah menengah telah dipilih dalam projek ini manakala pelaksanaannya hanya bagi empat subjek utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Projek rintis ini berakhir pada bulan Disember 2002. Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia dipertanggungjawabkan untuk memantau penggunaan courseware ini di semua Sekolah Bestari.






ISU- ISU DALAM PENDIDIKAN DI MALAYSIA


ISU 1 : PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MATEMATIK DAN SAINS DALAM 
            BAHASA   INGGERIS ( PPSMI )

·         PPSMI dilaksanakan secara berperingkat mulai 2003
·         Pelaksanaan penuh PdP dalam Bahasa Inggeris bagi sekolah Menengah 2007 dan Sekolah rendah pada 2008
·         Mendapat tentangan dari pelbagai pihak khasnya NGO yang memperjuangkan Bahasa Melayu
·         PPMSI dimansuhkan pada 2012  secara “soft landing’’  ( berakhir sepenuhnya pada tahun 2016) dan digantikan dengan MBMMBI

RASIONAL  PPSMI :
·         Sains dan matematik adalah bidang yang menjadi asas dan berperanan penting dalam kemajuan dan pembangunan sesebuah negara.
·         Bahasa Inggeris adalah merupakan bahasa utama pada peringkat tinggi dalam kedua-dua bidang ini.
·         Justeru kedua-dua mata pelajaran ini perlu diajar dalam Bahasa Inggeris sebagai persiapan dari peringkat awal persekolahan untuk membolehkan negara mencapai taraf negara maju dan mampu bersaing di peringkat global.

ULASAN/KOMEN :
·         PdP patut dilaksanakan dalam dwibahasa iaitu bahasa Inggeris di sekolah yang berprestasi tinggi dan Bahasa Melayu bagi murid yang mempunyai tahap penguasaan Bahasa Inggeris yang lemah.
·         Ini penting supaya pelajar yang tidak mampu menguasai Bahasa Inggeris mampu mempelajari konsep penting matematik dan sains.
·         Bagi pelajar yang berpotensi untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi ,perlu belajar dalam Bahasa Inggeris sebagai persediaan awal untuk menguasai bidang sains dan matematik  di peringkat yang lebih tinggi supaya mereka mampu bersaing di peringkat global.



ISU 2 : PENTAKSIRAN TINGKATAN TIGA ( PT3)

·         Dilaksanakan ekoran pelaksanaan Penilaian Berasaskan sekolah yang bertujuan untuk membuat pentaksiran  secara menyeluruh dan berterusan kepada pelajar dan tidak hanya bergantung kepada peperiksaan semata-mata
·         Dinilai berdasarkan 4 jenis penilaian iaitu keputusan keseluruhan, keputusan mata pelajaran, laporan pentadbiran ( jasmani, sukan dan kokurikulum )  dan laporan psikometrik.
·         Dilaksanakan mulai 2014

ULASAN/KOMEN :
·         Timbul isu kesahan dan kebolehpercayaan kerana walaupun soalan disediakan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia, namun demikian set soalan antara sekolah A dengan sekolah B adalah tidak sama.
·         Pengawasan peperiksaan dan penyemakan jawapan dilakukan oleh guru dari sekolah yang sama. Ini mewujudkan isu kejujuran guru dalam pengawasan dan penyemakan  terutamanya bagi guru yang mempunyai anak yang menduduki PT3 di sekolah yang sama ( kebocoran soalan ).
·         Wujud  persoalan tentang keadilan untuk memohon masuk ke sekolah berasrama penuh dan seumpamanya.
·         Pada pandangan saya pengendalian peperiksaan perlu ditambahbaik bagi mengatasi isu – isu seperti di atas.



RUJUKAN
2- http://mieza17.blogspot.my/2012/06/perkembangan-matematik-di-malaysia.html
5-http://documents.tips/documents/kronologi-pendidikan-sekolah-di-malaysia-   
     55a8226ea3d3b.html