Navigation Button

Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket

Ahad, 13 Disember 2015

ISU 7 : PENGAJARAN DAN PEMBINAAN SOALAN BERBENTUK KBAT TANPA PENGGUNAAN ICT

ISU 7
PENGAJARAN DAN PEMBINAAN SOALAN BERBENTUK KBAT TANPA PENGGUNAAN ICT



    
Pengenalan
Umumnya kita memahami istilah pengajaran sebagai suatu proses pemindahan ilmu atau pengetahuan dari suatu individu atau sumber kepada individu yang lain.  Proses pemindahan dari seorang individu ke individu yang lain mestilah melalui suatu kaedah atau proses yang betul supaya objektif pengajaran tersebut dapat dicapai. Dalam pendidikan kaedah memindahkan ilmu ini dikenali sebagai pedadogi. Pedadogi yang sesuai dan berkesan membolehkan pengajaran dapat dilakukan dengan baik dan seterusnya mencapai matlamatnya.
Perkembangan yang berlaku telah mengubah pedadogi atau pendekatan pengajaran semasa.  Perkembangan teknologi terutamanya teknologi maklumat ( ICT) telah mendorong penggunaan ICT dalam proses pedadogi pada hari ini. Pengajaran menggunakan ICT bermaksud pengajaran dengan menggunakan bantuan ICT seperti perisian interaktif, perisian atas talian ( on line) , kalkulator grafik dan sebagainya. ICT ini hanyalah sebagai suatu tambah nilai atau bantuan bagi meningkatkan kualiti dalam pengajaran. Sungguhpun demikian proses pengajaran masih boleh dilakukan walaupun tanpa adanya sokongan ICT. Tugasan ini akan membincangkan bagaimana proses pengajaran kemahiran berfikir aras Tinggi  (KBAT) boleh dilaksanakan tanpa bantuan ICT.
            Kemahiran Berfikir boleh didefinisikan sebagai proses menggunakan minda untuk mencari makna dan pemahaman terhadap sesuatu , menerokai pelbagai kemungkinan idea atau ciptaan, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah, seterusnya membuat refleksi dan metakognitif terhadap proses yang di alami. Edward de Bono ( 1976)  mengaitkan proses berfikir dengan proses menggunakan minda untuk membuat keputusan  dan menyelesaikan masalah.  Beliau mengelaskan kemahiran berfikir kepada dua peringkat pemikiran iaitu kemahiran berfikir aras rendah  (KBAR) dan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) seperti yang ditunjukkan dalam rajah Taksonomi Bloom  di bawah.

                     

KBAR termasuklah kemahiran kognitif, mengingat semula dan kemahiran mengaplikasi konsep serta pengetahuan dalam situasi biasa atau konteks yang lazim.  Manakala KBAT pula berlaku apabila seseorang individu menerima maklumat baharu, memproses maklumat, membuat penilaian seterusnya membuat keputusan dan menyelesaikan masalah yang bukan lazim. KBAT melibatkan kemahiran kognitif yang lebih tinggi iaitu kemahiran menganalisis, sintesis, menilai dan menghasilkan sesuatu idea yang baharu.

 Pengajaran KBAT Tanpa ICT

Proses pengajaran KBAT tanpa  ICT adalah suatu bentuk pengajaran yang dilakukan tanpa melibatkan penggunaan ICT dan kelihatan konvensional tetapi berupaya menerapkan kemahiran berfikir di kalangan murid . Proses pengajaran berfikir tidak diajar secara khusus sebagai suatu mata pelajaran tetapi adalah dalam bentuk penerapan semasa proses pembelajaran. Pengajaran berfikir yang baik akan mampu menghasilkan pelajar yang kritis, kreatif dan inovatif serta berupaya mengaplikasikan dalam penyelesaian masalah harian.  Oleh itu Sebelum sesuatu proses pengajaran berlaku seseorang guru haruslah membuat perancangan  berdasarkan pertimbangan yang tertentu. Pertimbangan ini termasuklah :
i) penentuan pendekatan berdasarkan objektif pelajaran.
ii) Pemilihan kaedah dan teknik mengajar berdasarkan pendekatan yang ditentukan.
iii) Penyusunan kaedah dan teknik mengajar secara sistematik dengan mengikut prinsip dan teori pembelajaran.
iv) Pengagihan masa untuk setiap langkah mengajar dirancang secara optimum.
v) Penggunaan bahan pelajaran  mengikut keperluannya untuk setiap kaedah dan teknik mengajar.
vi) Pengurusan kelas mengikut pendekatan dan strategi yang sesuai.


            Antara cara berkesan yang boleh dilakukan untuk menerapkan KBAT dalam PdP ialah dengan mengemukakan soalan-soalan yang berunsurkan KBAT semasa proses PdP dijalankan. Soalan dikemukakan adalah soalan yang membolehkan murid untuk mengaplikasi, menganalisa, mensintesis dan menilai suatu maklumat daripada sekadar menyatakan semula fakta atau hanya mengingati fakta yang telah dipelajari.
Pendekatan penyelesaian masalah merupakan salah satu contoh strategi yang boleh digunakan dalam PdP KBAT tanpa menggunakan ICT. Melalui pendekatan ini murid diberi masalah harian dan diberi peluang untuk membuat analisis dan seterusnya mengemukakan idea bagi menyelesaikan masalah berdasarkan ilmu yang telah dipelajari. Ini bermakna bahwa murid-murid boleh menggunakan kreativiti masing –masing dalam penyelesaiannya tanpa terikat kepada suatu cara atau cara yang tertentu sahaja. Pendekatan ini akan melatih murid untuk berfikir pada aras kognitif tinggi bagi mencari penyelesaian kepada masalah yang diberi.  Ini adalah kerana pendekatan ini memerlukan murid untuk melakukan langkah-langkah seperti berikut :
·         Memahami dan mentafsirkan masalah
·         Merancang strategi penyelesaian
·         Melaksanakan strategi
·         Menyemak semula penyelesaian

Selain kaedah penyelesaian masalah yang dinyatakan di atas terdapat pelbagai lagi pendekatan lagi yang boleh digunakan untuk menerapkan KBAT tanpa ICT dalam proses PdP. Antaranya adalah seperti aktiviti kumpulan, kerja projek, tugasan lapangan dan sebagainya yang memerlukan kemahiran murid untuk mengaplikasikan ilmu dalam kehidupan seharian.


Pembinaan Soalan KBAT tanpa ICT

Pembinaan soalan KBAT tanpa ICT bermaksud murid soalan yang memerlukan murid menggunakan kemahiran berfikir aras tinggi tanpa bantuan ICT seperti kalkulator grafik, Geometry Skatchpad (GSP) dan seumpamanya. Namun demikian bagi memastikan  soalan yang dibina adalah benar-benar bercirikan soalan KBAT, soalan tersebut mestilah memenuhi keseluruhan atau hampir keseluruhan ciri berikut :
1. Menggunakan stimulus secara ekstensif  untuk menjana kemahiran inferens dan penaakulan kritikal.
2.  Menguji pelbagai tahap/aras pemikiran kognitif yang mengundang pelbagai bentuk respons
3. Berdasarkan konteks baharu yang bukan lazim seperti menggunakan situasi di luar bilik darjah . Ini adalah bagi menggalakkan murid berfikir lebih mendalam dan bukan sekadar mengingat semula apa yang dipelajari.
4. Berdasarkan situasi sebenar dalam kehidupan harian. Ini akan mendorong murid untuk menggunakan hasil pembelajaran dari pelbagai disiplin  ilmu untuk menyelesaikan masalah kehidupan seharian.
5. Menggunakan soalan tidak berulang.  Iaitu soalan yang dibina mestilah berbeza setiap tahun dan menggunakan bahan yang melangkaui bahan buku teks, buku kerja dan sebagainya.

Ciri –ciri di atas mestilah dipenuhi dalam pembinaan soalan KBAT tanpa ICT kerana soalan KBAT melibatkan skop yang luas, kepelbagaian kaedah dan bahan ransangan serta mencabar tetapi masih boleh ditaksir. Respons murid adalah bebas, tidak spesifik dan boleh merentasi mata pelajaran lain. Soalan KBAT mengalakkan murid untuk memberi lebih daripada satu cara penyelesaian dan strategi atau terdapat lebih daripada satu jawapan. Jawapan yang diberi pula tidak serta merta jelas kerana murid perlu menggunakan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif.
Terdapat 7 langkah penting dalam pembinaan soalan berbentuk KBAT iaitu  :

·         Langkah 1 : 
Tentukan konstruk,konteks dan aras kesukaran
·         Langkah 2 :
Tentukan jenis soalan ( Objketif/ struktur/ essei)
·         Langkah 3 :
Tentukan jenis evidens ( Fakta, konsep, generalisasi, keupayaan menilai, rasional)
·         Langkah 4 :
Rancang  stimulus ( pelbagai, saling berkaitan, teks sepenuhnya, teks bukan sepenuhnya)
·         Langkah 5 :
Tulis soalan ( stimulus, stem , distractor)
·         Langkah 6 :
Tulis peraturan permarkahan/Rubrik  penskoran (senarai semak, penskoran objektif bergred, penskoran analitikal, penskoran holistik )
·         Langkah 7
Menilai soalan  (prinsip penilaian soalan, ciri soalan KBAT)
           





 Contoh soalan  KBAT tanpa menggunakan ICT adalah seperti yang ditunjukkan di bawah :


1. Apakah nombor yang apabila dibundarkan kepada ratus  yang hampir adalah 400 ?

2.  Pak Ali merupakan seorang penjual komputer riba. Jualannya bertambah secara malar pada setiap bulan yang berikutnya. Jualan pada bulan kedua adalah dua kali ganda bulan pertama. Sekiranya jualan pada bulan ketiga ialah 18 buah komputer riba, berapakah bilangan jualan yang bertambah pada setiap bulan  ?

Sebagai kesimpulannya dapatlah dirumuskan bahawa pengajaran KBAT masih boleh dilakukan dengan baik dan berkesan walaupun tanpa menggunakan ICT, begitu juga dengan pembinaan soalan masih dapat dibuat bagi pengajaran tanpa  menggunakan ICT. Soalan yang dibina masih lagi merupakan soalan KBAT asalkan soalan tersebut memenuhi 5 ciri soalan KBAT yang telah dinyatakan di atas.






                     












                                                                    













Tiada ulasan:

Catat Ulasan