ISU 8 : PENGGUNAAN
TEKNOLOGI DALAM PENGAJARAN DAN
PEMBELAJARAN
Globalisasi, liberalisai dan perkembangan teknologi maklumat bukan
sahaja memberi kesan kepada kehidupan pada alaf ini, ia juga telah mengubah perkembangan dunia pendidikan.
Perkembangan ini telah mendorong berlakunya perubahan yang pesat dalam pedadogi
atau kaedah pengajaran dan pembelajaran. Salah satunya ialah penggunaan
teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran.
Teknologi dalam pendidikan bukanlah sesuatu yang baru, ia telah lama berlaku
akibat perubahan dan perkembangan dunia. Pengajaran berasaskan teknologi
seperti komputer, kalkulator saintifik, perisian dinamik bergrafik mahupun
media teknologi maklumat adalah antara contoh teknologi yang sering digunakan
dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan teknologi ini adalah selaras dengan kehendak objektif
kurikulum matematik sekolah menengah,
iaitu memperkasakan kebolehan pelajar menggunakan teknologi yang bersesuaian
untuk membina konsep, menguasai kemahiran dan menyelesaikan masalah serta
meneroka ilmu matematik. Penggunaan teknologi diberi penekanan bagi mempersiap
dan memperkasakan murid untuk menghadapi cabaran di masa hadapan .
Paparan multimedia, internet dan perisian interaktif seperti Geometer’s Sketchpad (GSP) ,
adalah teknologi yang kerap digunakan
oleh guru. Banyak kajian yang telah dibuat tentang kesan penggunaan
teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran. Kesan penggunaan tekonlogi yang
biasa dikaji adalah kesan ke atas pencapaian, sikap dan motivasi murid. Sebagai
contohnya kajian oleh dilakukan oleh Yushau (2006) menunjukkan bahawa wujudnya
atitud positif murid terhadap penggunaan
komputer di dalam aktiviti pembelajaran. Murid menunjukkan perubahan yang positif terhadap
sikap dan kebolehan kendiri mereka dalam menggunakan pelbagai jenis teknologi
ketika membuat pembentangan di dalam kelas.
Peningkatan positif sikap murid terhadap penggunaan teknologi, telah
menjadikan suasana pembelajaran lebih efektif dengan komunikasi dua hala antara
murid-murid dan murid-guru. Ini bermaksud penggunaan teknologi yang sesuai ia
dapat membantu murid membina pengetahuan.
Ini menjadikan proses pendidikan lebih
bermakna, hebat dan terhubungkait antara satu sama lain.
Sungguhpun demikian bagi memastikan
teknologi ini dapat digunakan dengan berkesan, maka guru perlulah mempunyai persepsi dan kesediaan terhadap
teknologi yang digunakan. Persepsi guru terhadap teknologi maklumat memainkan
peranan yang penting sebagai faktor yang menentukan keberkesanan penggunaan
komputer dalam pengajaran dan pembelajaran matematik. Walaupun banyak
kajian yang dilakukan menunjukkan kesan
positif dan kebaikan penggunaan, namun masih terdapat beberapa isu yang timbul
tentang penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pendidikan. Antara isu –isu tersebut adalah seperti berikut :
1.
Persepsi guru terhadap kepentingan teknologi
Sungguhpun
sebahagian besar guru bersedia menerima perubahan dan menggunakan teknologi
dalam pengajaran dan pembelajaran ( PdP) tetapi masih terdapat guru yang tidak berminat untuk
menggunakannya. Ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya adalah
kerana kekangan masa. Sebahagian guru berpendapat bahawa penggunaan teknologi
akan memerlukan persediaan dan masa yang lebih banyak sedangkan banyak tugasan
dan sukatan pelajaran yang perlu dihabiskan. Ini menyebabkan guru berkenaan
lebih berminat menggunakan kaedah konvensional dengan berkesan.
Tambahan pula mereka lebih selesa menggunakan kaedah konvensional,
kerana beranggapan objektif PdP boleh dicapai dengan baik walaupun tidak
menggunakan teknologi terutamanya apabila sistem pendidikan hanya mementingkan keputusan peperiksaan
sahaja. Pencapaian murid dan kecekapan guru dinilai berdasarkan pencapaian
dalam peperiksaan. Situasi ini menimbulkan persepsi negatif terhadap penggunaan
teknologi. Secara ringkasnya terdapat guru yang mempunyai persepsi bahawa
penggunaan teknologi membebankan kerana memerlukan persediaan bahan, mengambil
masa yang lama untuk mencapai objektif dan mengambil masa yang lama untuk
menghabiskan sukatan, sedangkan semua ini dapat dicapai dengan baik melalui PdP
konvensional.
Sungguhpun mereka mengakui tentang kesan positif penggunaan teknologi ke atas murid, namun
pada anggapan mereka ia , ini adalah tidak berbaloi atau memadai berbanding
dengan kekangan masa untuk menghabiskan sukatan pelajaran.
2.
Guru kekurangan kemahiran
Proses
PdP menggunakan teknologi maklumat
memerlukan kemahiran pelbagai perisian seperti video, grafik, animasi dan
sebagainya. Kemahiran ini perlu dikuasai bagi membolehkan guru menggabungkan
pelbagai bentuk persembahan agar bahan pengajaran menjadi menarik. Kegagalan
mempersembahkan bahan pengajaran yang menarik akan menyebabkan proses PdP
menjadi hambar dan tidak berupaya mencapai objektifnya. Ini seterusnya akan
menyebabkan penggunaan teknologi tidak lagi berkesan dan hanya membazir masa.
Keadaan ini wujud kerana kebanyakan bahan untuk PdP berbantukan
teknologi perlu direkacipta dan dibangunkan sendiri oleh guru kerana kekurangan
perisian terbuka atau tersedia yang boleh digunakan oleh guru. Adakalanya
perisian untuk PdP telah tersedia tetapi masih perlu diubahsuai oleh guru bagi
disesuaikan dengan kemahiran dan keupayaan murid.
Ringkasnya guru terpaksa menyediakan sendiri bahan pengajaran berbantukan teknologi atau
ICT. Keadaan ini akan melemahkan semangat guru yang kurang kemahiran penggunaan
teknologi kerana ia memerlukan masa dan tenaga yang banyak dari guru berkenaan.
Ini secara tidak lansung telah mendorong guru berkenaan untuk menggunakan
kaedah pengajaran yang berbentuk konvensional.
Bagi meningkatkan kemahiran ICT di kalangan guru, pihak Kementerian
Pendidikan Malaysia sering mengadakan kursus bagi meningkatkan kemahiran dan
pengetahuan guru, sungguhpun demikian tidak semua guru berpeluang mengikuti
kursus yang dianjurkan kerana bilangan guru yang terlalu ramai. Ini bermaksud
hanya sebilangan guru sahaja yang berpeluang mengikutinya. Sikap sesetengah ru
g yang telah mengikuti kursus tetapi tidak
mengadakan kursus dalaman ( in house training) apabila kembali ke sekolah
menyebabkan pengetahuan yang dipelajari
tidak dapat dikongsi oleh guru–guru lain.
Sekiranya keadaan dan situasi ini berterusan maka proses meningkatkan
pengetahuan dan minat guru untuk menggunakan teknologi dalam PdP akan terbantut
dan menyebabkan guru lebih berminat untuk menggunakan kaedah konvensional.
3. Kekurangan komputer dan kemudahan internet
Kebanyakkan
PdP berbantukan teknologi memerlukan komputer dan ‘projecter’ sebagai alat
sokongan. Malangnya kebanyakan sekolah hanya mempunyai sebuah makmal komputer (
30 komputer ) yang terpaksa dikongsi dengan bilangan murid yang ramai ( sehingga
2000 orang atau lebih ). Adakalanya komputer yang terdapat di makmal
pula sebahagian besarnya tidak berfungsi dengan baik kerana kurangnya
penyelenggaran.
Penyelenggaran yang lemah adalah
berpunca dari ketiadaan juru teknik atau pegawai khas untuk
menyelenggaranya. Kerja-kerja penyelenggaran ini biasanya diserahkan kepada guru
makmal komputer , sedangkan guru tersebut juga terpaksa mengajar dengan
bilangan waktu yang sama seperti guru lain . Ini menyebabkan guru tersebut
tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk menyelenggara makmal komputer sekolah
tanpa menganggu tugas hakiki seorang guru ( mengajar) . Lebih malang bagi
sekolah yang tidak mempunyai ramai guru
berkelulusan ICT, guru makmal komputer
juga akan dilantik sebagai guru data yang melibatkan kerja
pengurusan/pentadbiran yang menggunakan sebahagian besar masa bekerja mereka.
Masalah ini ditambah lagi dengan capaian internet yang lemah . Capaian
internet yang lemah akan mengurangkan keupayaan guru untuk meneroka dan mencari
bahan PdP melalui internet dan tidak dapat menggunakan perisian interaktif yang
bersifat online. Kekangan-kekekangan ini menambahkan lagi masalah sedia ada yang menyebabkan kurangnya
minat bagi segelintir guru untuk
menggunakan teknologi ICT dalam PdP mereka.
4. Masa dan beban tugas guru
Mengintegrasikan komputer dalam pengajaran memerlukan masa yang banyak bagi guru-guru dalam membuat persediaan, terutamanya bagi guru yang kurang mahir sperti yang telah dinyatak sebelum ini. Persediaan ini termasuklah penyediaan bahan mengajar serta untuk setup bahan pada komputer sebelum kelas dimulakan. Dengan bilangan waktu mengajar yang banyak ( puratanya 28 waktu seminggu bagi seorang guru di sekolah Menengah) adalah sukar bagi guru untuk membuat persediaan mengajar di sekolah dan juga untuk setup bahan mengajar di makmal komputer.
Selain itu guru-guru juga mempunyai beban tugas lain selain daripada mengajar yang akan mengambil masa semasa waktu persekolahan seperti guru jadual waktu, setiausaha peperiksaan, ketua-ketua panitia dan selepas waktu persekolahan seperti sukan, aktiviti persatuan, mesyuarat-mesyuarat daerah, PIBG, kursus-kursus jangka panjang dan pendek. Situasi ini akan menyukarkan guru untuk melakukan persediaan yang mantap terutama jika mereka perlu menyediakan bahan sendiri, sebagai contoh jika guru perlu mendapatkan bahan dari internet dan untuk memilih bahan yang sesuai kadang-kadang mengambil masa berjam-jam. Penghasilan bahan pengajaran pembelajaran berasaskan kaedah bestari memerlukan masa yang lama kerana penghasilan bahan perlu dibuat dengan teliti supaya bahan tersebut berupaya membolehkan pelajar dapat berfikir dengan kritis dan kreatif, berupaya membuat penerokaan sendiri pada kadar kendiri dan mampu memajukan diri sendiri .
Ini ditambah lagi dengan hambatan untuk menghabiskan sukatan pelajaran .
Keadaan ini mendorong guru untuk menggunakan kaedah konvesional yang pada
pandangan mereka lebih cepat, jelas dan dapat mencapai objektif PdP walaupun
tidak begitu menarik.
Rumusan
Daripada
isu-isu penggunaan ICT dalam PdP yang telah dibincangkan di atas dapatlah
dirumuskan bahawa penggunaan teknologi
ICT dalam PdP adalah penting dan mampu menarik minat murid dan ini diakui oleh kebanyakkan guru. Namun demikian kekangan dan isu yang wujud
telah menyebabkan minat guru untuk menggunakan teknologi ICT berkurangan dan
mereka berpendapat adalah lebih effisen bagi mereka untuk menggunakan kaedah
konvesional dalam situasi dimana wujudnya kekangan-kekangan tersebut.
Sungguhpun demikian proses
pendidikan adalah suatu proses yang sentiasa berkembang dan berubah mengikut
perkembangan dan keperluan semasa. Oleh yang demikian penggunaan teknologi dalam
PdP adalah suatu perkembangan yang tidak dapat ditolak dan mesti diterima oleh
setiap insan yang bergelar guru. Kebanyakkan kekangan dan isu yang ada adalah
cuma isu picisan yang boleh diatasi melalui kerjasama dan persefahaman pihak
penggubal dasar dan guru sebagai pelaksana. Penulis yakin isu-isu yang timbul
pada masa kini, akan lenyap ditelan oleh perubahan dan perkembangan dalam
sistem pendidikan . Pokok pangkalnya adalah persepi dan kesanggupan guru untuk
menerima perubahan dan bersedia untuk bergerak kearah yang lebih baik tanpa
menghiraukan isu dan kekangan yang lebih bersifat sementara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan