BAHASA
PENGANTAR DI SEKOLAH
Bahasa jiwa bangsa adalah kata-kata yang selalu diucapkan dan
didengari oleh kita. Bahasa dikatakan sebagai jiwa bangsa kerana bahasa dapat
mencerminkan perwatakan sesuatu bangsa .
Bahasa yang mampu berjuang dan bersaing di persada antarabangsa menunjukkan
kemampuan bangsa tersebut untuk bersaing
dengan negara maju yang lain dalam perkembangan globalisasi masa kini.
Persoalannya sejauh manakah sesuatu bahasa itu mampu untuk maju di
peringkat antarabangsa jika ia tidak mampu untuk menjadi bahasa ilmu bagi
sesebuah negara.
Bahasa ilmu atau yang digunakan sebagai alat untuk menyampaikan maklumat dalam proses pengajaran
dan pembelajaran inilah yang dikatakan sebagai bahasa pengantar. Corak struktur sosial budaya Malaysia pada awal kemerdekaan
mempengaruhi pemilihan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan di Malaysia.
Menyedari hakikat bahawa bahasa pengantar terbaik untuk pendidikan awal
kanak-kanak adalah bahasa ibunda sendiri dan struktur masyarakat Tanah Melayu
pada ketika itu maka Akta pendidikan
1960 membenarkan wujudnya tiga bahasa pengantar dalam sistem pendidikan di
Malaysia. Bahasa pengantar ini adalah Bahasa Melayu untuk sekolah kebangsaan,
bahasa Tamil untuk sekolah jenis Kebangsaan (tamil) dan bahasa cina untuk sekolah jenis
kebangsaan cina. Sungguhpun kelonggaran
bahasa pengantar diberi pada peringkat awal persekolahan. Namun fungsi bahasa
sebagai alat perpaduan kaum juga dititik beratkan seperti yang dinyatakan dalam
Akta pendidikan 1960. Berasaskan kepada kepentingan inilah maka bahasa
Pengantar bagi semua sekolah menengah adalah bahasa Melayu.
Selepas adanya Penyata Razak 1956 sejarah kedudukan Bahasa Melayu
sebagai bahasa pengantar bermula dan diperkukuhkan lagi dengan Akta Pendidikan
1996. Ini bermakna semua mata pelajaran yang diajar di sekolah kebangsaan dan
sekolah menengah adalah menggunakan bahasa Melayu. Kemampuan Bahasa Melayu sebagai Bahasa
pengatar di peringkat sekolah telah
terbukti melalui pengalaman ini. Persoalan yang timbul pula ialah bagaimana
keupayaan Bahasa Melayu untuk menjadi bahasa pengatar di peringkat tinggi dan
juga bahasa ilmu diperingkat antarabangsa.
Persoalan seperti inilah yang menimbulkan polimik bahasa pengantar
dalam sistem pendidikan Malaysia.
Sesetengah pihak berpendapat kita perlu menguasai bahasa Inggeris dengan
baik dari peringkat awal persekolahan lagi terutamanya bagi mata pelajaran
sains dan Matematik sebagai suatu persediaan untuk pendidikan tinggi dan
melahirkan generasi yang mampu bersiang diperingkat antarabangsa. Kedua-dua mata pelajaran ini dianggap penting
untuk dipelajari dalam bahasa Inggeris kerana kedua-dua bidang ilmu inilah yang
menjadi dasar untuk menuju negara maju dan bahasa yang digunakan pada peringkat
tinggi untuk kedua-dua bidang ilmu ini
adalah bahasa Inggeris. Ini bermakna sekiranya kita mahu maju dan bersaing di
peringkat global maka mahu tak mahu kita mestilah berupaya untuk menguasai
bahasa Inggeris dengan baik.
Menyedari keperluan inilah yang telah mendorong kerajaan di bawah pimpinan
Tun DR Mahathir Mohamad ketika itu untuk memperkenalkan PPSMI iaitu pengajaran
dan pembelajaran sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Malangnya atas
rasional ini jugalah timbulnya konflik dalam bahasa pengantar dalam sistem
pendidikan di Malaysia. Ini adalah kerana secara jelas pelaksanaan dasar PPSMI
telah melanggar Penyata Razak 1956 dan Akta Pendidikan 1996 yang memperuntukan
bahasa Melayu sebagai Bahasa pengantar untuk semua mata pelajaran di sekolah di
Malaysia.
Ramai pejuang bahasa Melayu mempersoalkan tindakan ini kerana
berpendapat ia adalah suatu tindakan yang menjatuhkan maruah bahasa Melayu itu
sendiri dan tidak bersemangat kebangsaan. Golongan ini berpendapat bahawa
bahasa Melayu sepatutnya digunakan kerana ia telah terbukti bahawa selama ini
bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu di peringkat sekolah dan ia adalah
bahasa pribumi yang difahami oleh semua kaum di Malaysia.
Selain pejuang bahasa ini terdapat juga golongan pendidik yang
berpendapat bahawa pendidikan awal mestilah menggunakan bahasa ibunda atau
bahasa keluarga seperti yang disyorkan oleh UNESCO supaya murid dapat
mempelajari dengan sempurna dalam proses pengajaran dan pembelajaran tanpa
adanya gangguan bahasa. Ini adalah kerana penggunaan bahasa yang tidak mampu
dikuasai dengan baik akan menganggu proses pengajaran dan pembelajaran dan
seterusnya boleh menghilangkan minat murid untuk belajar . Kesannya tahap
pencapaian dan penguasaan konsep oleh murid adalah rendah.Atas desakan dan
faktor – faktor seperti ini maka dasar PPSMI telah dimansuhkan dan diganti
dengan dasar MBMMBI bagi mengembalikan kecemerlangan bahasa Melayu sebagai
bahasa Pengantar.
Namun demikian pemansuhan
PPSMI bukan bermakna tiadanya cabaran terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar. Ini kerana masih terdapat banyak
cabaran-cabaran lain yang terpaksa ditempuhi terutamanya di zaman
perkembangan teknologi maklumat yang pesat ini. Penggunaan bahasa slanga dan
dialek daerah merupakan antara ancaman yang wujud. Perkembangan teknologi
maklumat dan penggunaan telefon telah mewujudkan bahasa SMS yang mana di eja dalam sebutan yang ringkas
dan sukar difahami seperti ‘g’, ‘otw’
dan sebagainya yang sukar difahami tetapi banyak digunakan oleh murid. Ini
menyebabkan murid terpengaruh dan tidak dapat menulis atau mengeja dengan betul
di dalam Bahasa Melayu. Cabaran ini bukan mudah untuk diatasi dan menganggu
usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu.
Penggunaan dialek pula boleh
mengancam pengunaan lisan bahasa Melayu. Penggunaan dialek daerah ini menjadi
ancaman kepada bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar kerana terdapat kes di
mana guru-guru menggunakan loghat daerah dalam proses pengajaran dan
pembelajaran mereka dengan alasan ia memudahkan murid untuk memahami apa yang
diajar. Ini biasa berlaku di sekolah-sekolah luar bandar , di mana guru- guru
yang mengajar adalah guru tempatan atau
telah terlalu lama berada di kawasan tersebut dan lebih selesa untuk
menggunakan loghat daerah. Kes ini jarang berlaku di sekolah di kawasan bandar
atau sekolah terpilih seperti sekolah Berasrama Penuh, MRSM dan sebagainya.
Sebagai suatu kesimpulan saya berpendapat bahawa adalah wajar Bahasa
Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan di Malaysia.
Ini adalah kerana bahasa Melayu adalah bahasa pribumi dan menjadi asas
perpaduan antara kaum di Malaysia. Sungguhpun demikian saya berpendapat
pengecualian haruslah diberi dalam keadaan-keadaan tertentu yang memerlukan .
Kita tidak seharusnya terlalu sentimental dengan bahasa Ibunda kita sehingga
menghalang usaha untuk melahirkan
generasi yang mampu bersaing di
peringkat global dan membawa negara kita ke arah negara maju.
Pengguasaan Bahasa Inggeris adalah suatu kemestian , sekiranya kita
mahu mencapai impian ini. Ini adalah kerana bahasa Ilmu dan ekonomi pada hari
ini adalah bahasa Inggeris. Jadi adalah
wajar sekiranya pelajar diajar dalam bahasa Inggeris bagi mata pelajaran Sains
dan Matematik, iaitu dua mata pelajaran yang menjadi asas untuk menuju negara
maju. Pelajar-pelajar yang berupaya dan mampu untuk menguasai bahasa Inggeris
haruslah diajar menggunakan bahasa Inggeris . Ini adalah kerana pelajar-pelajar
cemerlang inilah yang akan melanjutkan pelajaran ke luar negeri atau ke
peringkat tinggi yang memerlukan penguasaan bahasa Inggeris dan mereka ini
jugalah yang kita harapkan untuk membawa balik teknologi dan segala macam ilmu
untuk menjadikan negara kita maju di masa hadapan.
Bagi pelajar yang kurang berupaya pula mereka haruslah diajar dengan
menggunakan bahasa Melayu supaya mereka dapat menguasai konsep sains dan
matematik dengan baik dan seterusnya mengaplikasi dalam kehidupan seharian
mereka. Mereka ini tidak wajar diajar dengan
menggunakan bahasa Inggeris kerana kesukaran mereka untuk memahami disebabkan
masalah bahasa. Ini boleh melemahkan minat, semangat dan kefahaman mereka dan
seterusnya menyebabkan pencapaian yang
rendah.
Oleh itu saya berpendapat adalah wajar sistem pendidikan di Malaysia
menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar tetapi dalam masa yang sama
memberi kelonggaran kepada pelajar cemerlang untuk mempelajari sains dan
matematik dalam bahasa Inggeris sebagai suatu persediaan kepada mereka untuk ke
peringkat yang lebih tinggi . Tegasnya pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik seharusnya berlaku dalam
dwi bahasa bergantung kepada tahap keupayaan murid. Sekiranya kita boleh
bertoleransi dengan membenarkan penggunaan bahasa cina dan tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah
mengapa tidak dengan bahasa Inggeris yang menjadi bahasa ilmu dunia hari ini ?.
Janganlah kita menjadi menang sorak
kampung tergadai.









Tiada ulasan:
Catat Ulasan