Navigation Button

Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket Photobucket

Ahad, 13 Disember 2015

ISU 4 : KESAMARATAAN AKSES KEPADA PENDIDIKAN BERKUALITI BERTARAF ANTARABANGSA



ISU 4 :
KESAMARATAAN AKSES KEPADA PENDIDIKAN  BERKUALITI  BERTARAF  ANTARABANGSA

 




1.0 :  PENGENALAN

Perkembangan dunia yang sangat pantas pada zaman sekarang telah mendorong Malaysia untuk terus  bergerak ke hadapan dan melakukan pelbagai perubahan bagi memastikan kita terus berada dalam perkembangan global ini.  Maju mundurnya sesebuah negara adalah bergantung kepada kesediaan rakyatnya untuk menerima perubahan-perubahan yang berlaku. Perkembangan sosiobudaya yang sihat dan pembangunan ekonomi mapan bergantung pada keupayaan menambah baik keberhasilan sistem pendidikan negara dengan cepat dan berkesan, serta signifikan kepada keperluan negara.
Keperluan untuk melahirkan rakyat yang berpendidikan tinggi dan berdaya saing menjadi semakin mendesak. Jesturu itu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM  2013-2025)  telah dilancarkan pada  6 september 2013 oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin . PPPM ini merupakan dokumen rasmi yang amat signifikan untuk pembangunan negara serta dalam masa sama diharap mampu melahirkan pelajar bersahsiah terpuji serta berkeperibadian tinggi. Pelan ini berfokuskan cara membangunkan dan meneruskan perkembangan, serta menambah baik sistem pendidikan secara berterusan. Bagi tujuan itu Kementerian telah mengenal pasti 11 anjakan yang perlu dilakukan bagi menghasilkan perubahan yang dihasratkan oleh semua rakyat Malaysia. Setiap anjakan perlu memberi
impak kepada sekurang-kurangnya satu daripada lima keberhasilan sistem, iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan, dan kecekapan.  Anjakan pertama yang dinyatakan dalam PPPM 2013-1025 ialah   menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.






KESAMARATAAN AKSES KEPADA PENDIDIKAN BERKUALITI BERTARAF ANTARABANGSA

Menurut Kamus Dewan edisi yang ke-4, akses bermaksud proses atau cara untuk mencapai atau memperoleh sesuatu data dan maklumat. Akses juga boleh didefinisikan sebagai capaian.  Kementerian Pelajaran berhasrat agar setiap kanak-kanak di Malaysia, tanpa mengira taraf ekonomi, etnik atau latar belakang berhak mendapat akses yang sama kepada pendidikan berkualiti  bertaraf antarabangsa bagi membolehkan mereka mencapai potensi masing-masing. Hakikatnya, hari ini, murid dikatakan telah berjaya menguasai ilmu apabila mereka berupaya menganalisa maklumat, berfikir secara kritis, mengaplikasi ilmu secara kreatif dan berkomunikasi dengan berkesan. Inilah ciri-ciri kemahiran berfikir aras tinggi yang telah pun dimiliki oleh murid di negara-negara maju.  Dalam mencapai cita-cita bagi mewujudkan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa Kementerian Pelajaran telah mengariskan 8 tindakan yang akan dilaksanakan bagi mencapai hasrat tersebut  iaitu

1  :      Menanda aras keupayaan dalam kemahiran membaca, matematik, dan sains dengan standard antarabangsa
 Bagi memastikan murid-murid di Malaysia mempunyai standard yang diiktiraf dan setanding diperingkat antarabangsa maka sistem pendidikan yang ada di negara kita perlulah diukur dengan standard antarabangsa. Dalam hal ini  Malaysia memberikan penekanan kepada penandaan aras keupayaan dalam kemahiran membaca, matematik dan sains.  Untuk itu Malaysia telah mengambil bahagian dalam pentaksiran antarabangsa melalui  Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS )  dan Program for International Student Assessment ( PISA).
TIMSS merupakan pentaksiran antarabangsa   berasaskan kurikulum sekolah bagi mata pelajaran Matematik dan Sains di seluruh dunia. Pentaksiran dibuat bagi mengukur prestasi murid pada Gred 4 (bersamaan dengan Tahun 4) dan Gred 8 (bersamaan dengan Tingkatan 2) yang merangkumi dua aspek iaitu pengetahuan kandungan seperti Algebra dan Geometri, dan kemahiran kognitif seperti proses pemikiran berbentuk pengetahuan, aplikasi, dan penaakulan. Malaysia menyertai TIMSS sejak  1999 dan melibatkan murid Tingkatan 2 sahaja. Jadual 1.1 di bawah menunjukkan pencapaian Malaysia sejak menyertai TIMSS pada tahun 1999

TAHUN
SKOR MARKAH
KEDUDUKAN
2011
2007
440 (di bawah purata antarabangsa)           
474  ( di bawah purata antarabangsa )
26/63
20 / 48
2003
508 (  mengatasi purata antarabangsa )
10 / 45
1999
519 (  mengatasi purata antarabangsa )
16 / 38
                        
                              Jadual  1.1 : Ringkasan kedudukan Malaysia dalam TIMSS

PISA pula  diselaraskan oleh OECD. Ia juga merupakan pentaksiran yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.  Ia dikendalikan setiap tiga tahun, PISA bertujuan menilai kecekapan murid berumur 15 tahun dalam Bacaan, Matematik dan Sains. Tumpuan pentaksiran bukan kepada kandungan kurikulum tetapi keupayaan murid mengaplikasi pengetahuan dalam kehidupan sebenar. Penyertaan pada 2009 meliputi 74 buah negara termasuk negara bukan anggota OECD. Kali pertama Malaysia menyertai PISA ialah pada 2010 sebagai kitaran pentaksiran untuk 2009.

2 :        Pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)
KKSR  telah dilaksanakan untuk tahap satu bermula 2011, manakala KKSM pula dilaksanakan  mulai  2014 dan kedua-dua kurikulum ini akan disemak semula pada 2017 nanti. KSSR digubal dalam bentuk pernyataan standard. Pernyataan standard di sini bermaksud  standard kandungan dan standard pembelajaran yang  perlu dicapai oleh murid dalam suatu tempoh dan tahap persekolahan.  Standard kandungan ialah penyataan spesifik tentang perkara yang murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam suatu tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai . Manakala Standard Pembelajaran ialah satu penetapan kriteria atau petunjuk (indicator) kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan.
Fokus utama dalam KSSR ialah kepada 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul. Ini adalah penambahbaikan kepada Kurikulum Bersepadu  sekolah Rendah yang hanya memberi penekanan kepada 3M ( membaca, menulis dan mengira).  Kurikulum baru ini dirangka berdasarkan tanda aras antarabangsa bagi memastikan murid yang dilahirkan oleh sistem pendidikan di negara ini memiliki kemahiran yang diperlukan untuk bersaing diperingkat global. Ia merangkumi dimensi intelek, emosi dan fizikal setiap murid serta menekankan aplikasi pengetahuan serta perkembangan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif selain memberi peluang melibatkan diri dalam aktiviti sukan dan kurikulum.
Pengenalan kurikulum baru itu juga selaras dengan pemansuhan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mulai 2014 serta perubahan penilaian ke atas murid tahun enam yang tidak lagi dibuat berdasarkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semata-mata. Ini kerana mulai 2016 juga gred pencapaian UPSR murid tahun enam tidak akan lagi ditentukan melalui peperiksaan awam sahaja tetapi digabung sekali dengan pentaksiran sekolah dan pentaksiran pusat.



3.         Rombakan peperiksaan dan pentaksiran

Sistem pendidikan Malaysia yang berlandaskan sistem peperiksaan telah menyebabkan guru menggunakan konsep hafalan terhadap para pelajar. Pengajaran disediakan sepenuhnya untuk peperiksaan. Bagi membolehkan Malaysia mencapai Negara maju menjelang abad 21, amalan ini perlu diubah.  Justeru itu kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) telah diperkenalkan untuk mengubah amalan tersebut rombakan semula peperiksaan dan pentaksiran untuk meningkatkan tumpuan terhadap kemahiran berfikir aras tinggi (higher order thinking skills) adalah perlu untuk menghasilkan modal insan yang cerdas, kreatif dan inovatif bagi memenuhi cabaran abad 21 agar negara mampu bersaing di persada dunia. Menjelang tahun 2016, peratusan soalan berbentuk pemikiran aras tinggi akan ditambah sehingga merangkumi 80% daripada keseluruhan soalan UPSR, 80% dalam penilaian untuk Tingkatan 3, 75% daripada keseluruhan soalan bagi mata pelajaran teras SPM dan 50% bagi soalan mata pelajaran elektif SPM.
Selain menerapkan soalan berbentuk KBAT, sistem pentaksiran juga telah ditambahbaik dengan memperkenalkan sistem penilaian Berasaskan  Sekolah (PBS). PBS mula dilaksanakan pada 2011 bagi  Tahun 1 dan penambahbaikan UPSR pada 2016. Bagi sekolah menengah pula,ia akan bermula dengan tingkatan 1 pada 2012 dan pemansuhan  PMR pada 2014.
PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). PBS akan  dilaksanakan di sekolah secara terancang mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan. Ianya  dikendalikan oleh pihak sekolah dan pentaksirannya dilaksanakan oleh guru-guru mata pelajaran secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Setiap murid akan ditaksirkan dalam bidang akademik dan bukan akademik yang melibatkan Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Pusat, Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum, dan Pentaksiran Psikometrik.





4.         Meningkatkan kualiti pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan   Matematik  (STEM)

Dalam melaksanakan transformasi pendidikan, STEM turut diberikan perhatian serius oleh Kementerian Pendidikan . Keupayaan dan kemahiran murid dengan pendekatan pembelajaran yang baharu ini amat penting dalam usaha negara mendepani cabaran dan permintaan ekonomi menjelang 2020. Kementerian Pendidikan  berusaha untuk mengukuhkan dasar 60:40 Sains/Teknikal: Sastera yang telah dilaksanakan sejak 1967. Namun demikian sasaran ini menghadapi beberapa cabaran dalam memperkukuh STEM seperti kemahiran guru, pencapaian murid dalam Sains dan Matematik serta persepsi ibu bapa dan murid terhadap STEM.
Mengikut laporan Strategi mencapai Dasar  60:40  yang dikeluarkan pada 2013 Trend Peratus Penyertaan Murid Lepasan PMR yang layak tetapi tidak menyertai Aliran Sains dan Teknikal masih rendah di mana hanya 41 peratus pelajar berada dalam aliran sains dan teknikal, 29 peratus dalam aliran sains tulen dan 12 peratus dalam aliran teknikal. Manakala, pelajar dalam aliran sastera sebanyak 55 peratus dan hanya 4 peratus sahaja mengikuti aliran vokasional (Laporan Strategi Mencapai  Dasar 60:40 Aliran Sains/teknikal: Sastera, 2013).
Strategi meningkatkan minat terhadap STEM bermula dari peringkat prasekolah hinggalah ke pusat pengajian tinggi. Di peringkat rendah pula, murid didedahkan dalam persekitaran pengajaran dan pembelajaran berasaskan aktiviti yang menyeronokkan. Manakala pada peringkat pengajian tinggi, pelajar didedahkan dengan pembelajaran bermakna dan penyelidikan berasaskan pendekatan STEM.




5.         Memperluas akses dan meningkatkan kualiti laluan pendidikan, bermula dengan pendidikan vokasional
Malaysia berhasrat meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi.Oleh itu, enrolmen dalam pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TEVT) perlu ditambah dan kualiti latihan secara keseluruhan dipertingkatkan untuk meningkatkan dengan ketara tahap kemahiran tenaga kerja. TEVT bertujuan menambah bekalan modal insan berkemahiran di Malaysia melalui penyediaan pendidikan berkualiti kepada pelajar yang mempunyai kecenderungan dan keupayaan dalam bidang teknikal dan vokasional. Ia menjurus kepada penyediaan kemahiran yang boleh digunakan dengan segera dalam pasaran pekerjaan. Di kebanyakan negara maju pendidikan TEVT menjadi pilihan pendidikan perdana .
Model binari atau dwi-laluan pendidikan yang fleksibel diguna pakai di kebanyakan negara berpendapatan tinggi.Model ini membolehkan pelajar menukar aliran antara akademik dengan teknikal atau vokasional yang mempunyai prospek kerjaya yang setara.
Pendekatan dwi-laluan pendidikan yang sedang diusahakan akan memberi peluang kepada pelajar untuk menukar aliran antara TEVT dengan akademik seperti yang ditunjukkan dalam pendidikan TEVT di peringkat sekolah menengah yang mempunyai dua aliran utama iaitu teknikal dan vokasional. Aliran teknikal mempunyai lebih banyak komponen akademik manakala aliran vokasional mempunyai lebih banyak komponen hands-on.

6.         Meningkatkan kualiti prasekolah dan menggalakkan enrolmen sejagat menjelang 2020
Menurut UNESCO, pendidikan awal kanak-kanak memainkan peranan yang penting dalam perkembangan minda kanak-kanak dan dapat mengurangkan kekurangan sedia ada dan di masa depan. Menyedari kepentingan pendidikan prasekolah tujuh teras bagi memperkasa tadbir urus dan pelaksanaan pendidikan prasekolah yang berkualiti telah dirangka iaitu
i.          Penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Prasekolah Kebangsaan serta Bahagian Pendidikan   awal    Kanak-kanak dan Prasekolah untuk mengkaji semula dasar pendidikan prasekolah kerajaan dan prasekolah swasta yang berdaftar
ii.         Pelaksanaan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) bermula Januari 2010
iii.        Menyeragamkan bantuan kepada murid prasekolah kerajaan..
iv.        Meningkatkan kualiti guru dan pembantu guru prasekolah. Program Peningkatan Kemahiran diberikan kepada guru dan pembantu guru prasekolah . kriteria kelayakan minima untuk semua guru prasekolah ialah Ijazah sarjana muda.
v. Menambah bilangan kelas prasekolah, khususnya bagi kanak-kanak berumur 4+ tahun..
vi.  Meningkatkan Perkongsian Pintar Kerajaan-Swasta dalam pendidikan prasekolah.
vii. Mewujudkan Sistem Maklumat Prasekolah Kebangsaan bagi menyelaras dan mengumpul            
       maklumat berkaitan prasekolah .

7.    Meningkatkan pelaburan dalam sumber fizikal dan sumber pengajaran untuk
       murid berkeperluan khas.


Di Malaysia, kategori murid yang berkeperluan khas merangkum murid yang mempunyai masalah penglihatan, masalah pendengaran, kesukaran bertutur, kurang upaya fizikal, kurang upaya pelbagai,
dan masalah pembelajaran seperti autisme, Sindrom Down, ADHD (Attention Deficit Hyperactivity Disorder), dan disleksia. Murid berkeperluan khas pada masa ini mempunyai akses kepada pendidikan dan boleh memilih satu daripada tiga opsyen persekolahan berikut:

           Sekolah pendidikan khas:  Sekolah khas dengan semua murid diklasifikasikan sebagai kurang               upaya (seperti sekolah untuk masalah penglihatan atau murid kurang upaya yang lain);
          Program Integrasi Pendidikan Khas (SEIP): Sekolah arus perdana yang mempunyai kelas khusus untuk murid berkeperluan khas; dan
          Program pendidikan inklusif: Sekolah arus perdana yang mengintegrasi satu hingga lima
             murid berkeperluan khas dalam kelas arus perdana.

Hanya segelintir murid berkeperluan khas, iaitu sebanyak 6% yang diletakkan di dalam program inklusif. Sebanyak 89% mengikuti program integrasi dan hanya 5% mendaftar di sekolah pendidikan
khas. Untuk menjamin akses pendidikan berkualiti dan bertaraf antarabangsa kepada semua murid, kerajaan meningkatkan pelaburan bagi sumber fizikal dan pengajaran kepada murid dengan keperluan khusus. Murid Orang Asli dan kumpulan minoriti, serta murid kurang upaya fizikal dan pembelajaran, akan menerima bantuan tambahan supaya mereka juga menikmati peluang yang sama seperti murid lain.

8.         Melanjutkan pendidikan wajib daripada 6 tahun kepada 11 tahun bermula pada usia 6 tahun dan keatas
Dalam PPPM 2013- 2025 dinyatakan bahawa adalah menjadi hasrat kerajaan untuk memastikan pada 2020 nanti setiap murid yang akan meninggalkan alam persekolahan dengan kelayakan SPM atau kelayakan Vokasional yang setara. Perubahan ini bermaksud pendidikan wajib akan ditingkatkan daripada 6 tahun kepada 11 tahun iaitu selama 6 tahun di sekolah rendah dan 5 tahun di sekolah menengah.Pelaksaan pendidikan wajib ini akan meningkatkan  Enrolmen murid. Adalah dianggarkan peningkatan  sebanyak 5%, 10% dan 20% di peringkat pendidikan rendah,menengah rendah dan menengah atas (berdasarkan kadar enrolmen pada 2011 untuk sekolah awam dan swasta). Murid yang mempunyai risiko tercicir akan dibantu menerusi pelbagai inisiatif, merangkumi bimbingan pemulihan untukibu bapa dan kaunseling murid, bagi mengekalkan mereka dalam sistem pendidikan. Tempoh pendidikan wajib selama 11 tahun  dikuatkuasakan  mulai tahun 2015. Selain itu, tempoh pendidikan wajib juga akan dilanjutkan daripada 6 tahun sekarang kepada 11 tahun, dengan disokong oleh pelbagai inisiatif untuk mengekalkan murid dalam sistem pendidikan, termasuk memperluaskan laluan pendidikan dan latihan teknik dan vokasional.
.
RUMUSAN
Kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa adalah penting kerana setiap murid di Malaysia  adalah berhak untuk mendapatkan pendidikan terbaik yang ada dalam negara kita tanpa mengira status sosioekonomi, lokaliti dan sebagainya. Bagi memastikan bahawa semua murid mempunyai akses untuk mendapatkan pendidikan terbaik maka pelbagai langkah telah diambil dan dirancang dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Perancangan secara menyeluruh bagi memastikan tahap pendidikan yang diterima oleh murid di Malaysia adalah berada pada kualiti bertaraf antarabangsa. Sejajar dengan itu  maka pelbagai penambahbaikan dirancang dan dilaksanakan. Ini meliputi perubahan perubahan kurikulum, pendekatan dan penambahbaikan program dan kemudahan infrastruktur yang lebih baik. Sistem pentaksiran sedia ada juga telah ditambahbaik supaya selaras dengan perkembangan pendidikan global.
Akses kepada pendidikan bertaraf dunia amat penting dalam usaha kita melahirkan generasi yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Oleh itu ia telah menjadi agenda utama dalam perubahan dan perkembangan pendidikan di Malaysia seperti yang terdapat dalam PPPM 2013-2025.










RUJUKAN :

Effandi Zakaria (2007). Trend Pengajaran dan Pembelajaran Matematik. Kuala Lumpur: UtusanPublications & Distributors Sdn

Kamus Dewan Edisi 4. (2010). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Laporan Strategi Mencapai Dasar 60: 40 Aliran Sains/Teknikal: Sastera (2013).
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. 2012. Kementerian Pelajaran Malaysia.
Sabri Ahmad, Tengku Azwawi dan Aziz Omar (2006). Isu-isu dalam pendidikan matematik. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Sidek Baba ( 14 november 2013)  PPPM: Akses pendidikan berkualiti. Sinar Harian  Retrived Oct. 26, 2015  from http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/cikgu-sidek-baba/pppm-akses-pendidikan-berkualiti-1.220636


Tiada ulasan:

Catat Ulasan